Entah di mana silapnya, tragedi kebakaran yang menimpa pusat-pusat Tahfiz di Malaysia kerap kali berlaku dan lebih malang, seringkali berlaku kematian kepada anak-anak kecil yang belum mengerti makna kehidupan.
Artikel ini bukan berniat untuk mengungkit, tetapi mengimbas peristiwa lalu yang ada kalanya boleh dijadikan panduan agar kita lebih berhati-hati dan seterusnya mengambil langkah proaktif bagi mengelak kejadian sama berulang.
1. Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat (2017)
Dalam satu kejadian kebakaran yang sangat menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi (14/9/2017), 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.
Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.
Apa yang sangat menyedihkan, kejadian kebakaran ini berpunca daripada perbuatan khianat oleh 7 suspek yang baru berusia 12 hingga 18 tahun, selepas berlaku ejek mengejek di antara mereka.
2. Madrasah Tahfiz Al-Redzuan, Dengkil (2016)
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama dan dewan makan terbakar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pelajar berada di masjid.
3. SMA As-Siddiqiah Al-Islamiah, Naka (2016)
Seramai 170 pelajar berdepan detik-detik cemas apabila dua bangunan asrama yang turut menempatkan surau terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu.
Mereka berjaya menyelamatkan diri namun gagal menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat.
Nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.
4. Maahad Tahfiz Jamiul Hasanah, Tanjong Karang (2015)
Kira-kira 95 peratus bangunan dua tingkat asrama dan bilik kuliah hangus terbakar dalam kebakaran pada 8 Ogos 2015 itu.
Tiada kemalangan jiwa kerana kesemua pelajar menghadiri majlis jamuan hari raya.
Litar pintas dikenal pasti sebagai punca.
5. Maahad Tahfiz Al Barakah, Tikam Batu (2013)
Pelajar pintar, Aiman Nurhakim Yahya, 13, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku di salah sebuah asrama.
Kejadian jam 2 pagi 15 Jun 2013 itu turut mengakibatkan dua lagi pelajar cedera.
Kejadian berlaku dipercayai akibat litar pintas.
6. Pondok Pak Ya, Guar Chempedak (1989)
Siapa mampu melupakan tragedi Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, pada 22 September 1989? Kebakaran asrama perempuan madrasah yang terletak di Guar Chempedak itu mengakibatkan 27 orang pelajar maut.
Difahamkan punca kebakaran adalah api dari lilin yang dipasang untuk menerangi bilik asrama.
Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan khas yang dinamakan '27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya'.
Semoga semua pihak mendapat pengajaran berguna kali ini.
EmoticonEmoticon