Alhamdulillah mangsa kebakaran tahfiz yang terselamat kini semakin pulih dan kuat menerima takdir Allah.
Salah seorang mangsa terselamat adalah isteri kepada Timbalan Pengetua Tahfiz tersebut. Selepas lama berdiam diri akhirnya beliau bercerita tentang pengalamannya ketika hari kebakaran. Allahuakbar.
ISTERI TIMBALAN PENGETUA MULA BERCERITA
Kuala Lumpur: “Saya terasa seperti ajal sudah tiba ketika itu,” kata Che Norhayati Che Amat, 33, seorang mangsa yang terselamat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Khamis lalu.
Ketika tragedi berlaku, Che Norhayati hanya tinggal bersama empat anak dan seorang adik lelakinya berikutan suami iaitu Timbalan Pengetua pusat tahfiz terbabit, Mohd Azhari Mahmood berada di Makkah.
TERJAGA KERANA TERASA ADA “SESUATU” TAK KENA
Menceritakan detik kebakaran itu, Che Norhayati berkata, dia terjaga tidur bila rasa ada “sesuatu” tak kena. Dia hanya menyedari kejadian itu sebaik mendengar bunyi bising dari luar bangunan tahfiz itu.
Malah katanya, ketika tersedar, keadaan bilik dihuni gelap berikutan bekalan elektrik terputus selain dipenuhi asap hitam.
“Waktu itu memang panik kerana tak nampak apa-apa. Bila pergi ke arah pintu pula, api sudah marak membakar menyebabkan kami terperangkap selain bangunan terasa bergegar.
“Jadi saya ambil anak-anak dan bawa mereka ke tepi tingkap dan menjerit meminta tolong,” katanya.
Menurut Che Norhayati, mereka terperangkap dan panik ketika itu.
TAK LEPAS MULUT DARI ISTIGHFAR
“Waktu itu saya tak henti beristighfar dan berzikir kalimah Allah SWT. Malah, beberapa minit kemudian saya terfikir mungkin sudah sampai ajal disebabkan asap semakin tebal dan saya sudah hampir lemas, ” katanya.
SYUKUR AKHIRNYA SELAMAT
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana akhirnya beberapa anggota bomba muncul sebelum dia menyerahkan tiga anaknya kepada anggota bomba di tingkap.
“Alhamdulillah, ketika menyerahkan anak kepada anggota bomba, pintu rumah kami dipecahkan daripada depan.
“Melalui pintu itu, saya keluar bersama anak sulung dan adik lelaki,” katanya.
Che Norhayati berkata, dia tidak menyedari terdapat 21 pelajar dan dua warden terperangkap dalam bangunan asrama.
“Ketika diselamatkan, saya sudah dikelilingi ramai orang termasuk pelajar tahfiz sendiri.
“Saya hanya tahu 23 mangsa meninggal dunia kerana terperangkap beberapa jam selepas kejadian,” katanya.
EmoticonEmoticon