Seorang pemuda yang sedang mengikuti latihan ketenteraan meninggal dunia selepas dipercayai mengalami strok haba di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan khamis lalu.
Perajurit Muda Muhammad Aizat Hamzah, 23, yang mengikuti latihan tersebut di Port Dickson dikatakan pitam semasa menjalani latihan jalan laju sejauh 15 kilometer dua hari sebelum itu.
Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak itu yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.23 pagi.
Abang mangsa, Mohd. Ariff, 28, berkata, sebelum kejadian itu berlaku, kali terakhir ahli keluarganya berhubung dengan Muhammad Aizat yang berasal dari Kampung Bukit Dinding di sini adalah pada awal November lalu iaitu selepas adiknya itu memasuki pusat latihan ketenteraan berkenaan.
“Kami reda dengan ketentuan Allah SWT dan amat berbangga kerana arwah meninggal dunia sebagai perwira ketika dalam tempoh latihan ketenteraan,” katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Bukit Ketupat hari ini.
Menurut Mohd. Ariff, arwah yang merupakan anak kedua daripada lima beradik yang memasuki usia 24 tahun pada 18 Mac lepas berminat menjadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya untuk jaminan hidup pada masa depan.
“Saya yang menghantarnya ke Port Dickson untuk melaporkan diri mengikuti latihan tentera dan tidak menyangka dia meninggal dunia di sana,” ujarnya yang memberitahu adiknya itu aktif bersukan.
Jenazah Muhammad Aizat dikebumikan di Kampung Gajah Mati, Temerloh pada petang Khamis lepas.
Loading...
EmoticonEmoticon