Tuesday, 4 April 2017

'Mufti Perak Boleh Dihukum 80 Kali Sebatan' - Siti Kassim

Tags



Peguam dan aktivis terkenal Siti Kasim berkata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria melakukan perkara sama seperti memfitnahnya dan oleh itu boleh dihukum 80 sebatan, menurut Al-Quran.


Menjawab kepada komen dibuat mufti itu pada sidang media di Ipoh semalam, Siti Kasim berkata Harussani tidak sepatutnya bercakap sebelum memastikan faktanya tepat.

"Saya tidak murtad. Dia perlu dengar temu bual asal saya. Jangan terkeliru dengan versi potong dan tampal yang berunsur fitnah oleh menara.my, laman web fundamentalis yang hanya menyerang sesiapa saja yang Islamofasis anggap sebagai liberal.

"Itu fitnah besar untuk menuduh wanita secara salah, boleh dihukum 80 kali sebat menurut Al-Quran," katanya dalam postingnya di Facebook awal hari ini, bersama surah Al-Quran di mana 4 saksi diperlukan untuk menuduh.

Semalam, Bernama melaporkan Harussani sebagai berkata Siti Kasim tidak sepatutnya menyentuh perkara "tauhid" kerana itu bukan bidangnya.

"Perbuatan itu boleh menjurus kepada murtad," katanya pada sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Berhubung tuduhan itu, Siti Kasim mempersoalkan di mana "4 saksi" mufti Perak, dan berkata:

"Syariah tidak menerima video sebagai bukti", merujuk kepada apa yang dilaporkan dikatakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Harussani juga menasihati Siti Kasim dengan berkata "orang yang murtad terkeluar daripada Islam dan kalau mati pun tak boleh ditanam di perkuburan Islam".

"Saya menasihatkan (Siti Kasim) untuk tidak campur dalam urusan agama yang kita tidak tahu. Belajarlah," kata Harusssani.

Siti Kasim turut mempersoalkan jika Harussani menyamakan dirinya dengan Tuhan.

"Adakah dia Tuhan? Memahami kepercayaan anda itu perlu. Allah perintah ummah untuk menggunakan akal mereka. Jadi nasihat saya kepadanya ialah dengar nasihatnya sendiri.

"Jangan cakap perkara yang kita tidak tahu kerana ia boleh memudaratkan diri kita sendiri," katanya.

Harussani berkata demikian ketika mengulas laporan media yang menyebut tentang kenyataan Siti Kasim berhubung tuhan dalam satu temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan memanggil Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan tuhan.

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon