Saturday, 20 May 2017

Hannah Yeoh, Jadi Melayu Muslim Pun Susah.

Tags




Oleh Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa:

1. Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah. Lebih rumit bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan. Malah berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.

2. Kalau buku ‘Menjadi Hannah Yeoh’ dikatakan menyebar agama Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam, saya orang Melayu dan Muslim jujurnya dalam keadaan dilema. Ia membawa mesej membimbangkan kerana bangsa saya dan agama saya dipertontonkan sebagai lemah hanya dengan satu karya dari penulis bernama Hannah Yeoh.

3. Saya kata sukar menjadi Melayu dan Islam di Malaysia kerana saya terperangkap antara bersikap objektif dan emosional. Terperangkap dalam dilema inilah menyebabkan rakyat kita kurang peduli kepada isu yang lebih besar negara.

4. Implikasinya ialah setiap kaum dan agama berada di balik tembok kubu masing-masing. Mereka yang cuba keluar dari belengu kubu masing-masing dikatakan ‘musuh’ dengan label Liberal dan Murtad tidak kurang Munafik. Itu kubu Melayu.

5. Semua insiden negatif di Malaysia dikaitkan dengan agama atau bangsa, walhal secara objektifnya insiden itu datang dari sikap individu dan bukan mewakili bangsa atau agamanya.

6. Saya lebih terperangkap dalam ‘dunia tembok’ ini apabila kebencian kaum dan agama diinstitusikan melalui sikap parti politik tertentu dan pihak kerajaan sendiri seolah mendapat ‘barakah’ restu nuansa-nuansa keji ini. Isu perundangan RUU 355 hanya kerana namanya Islam distrukturkan begitu rupa dengan kerjasama pemerintah sehingga menimbulkan kebencian terancang sesama umat Islam dan umat beragama lain.

7. Logik dunia hari ini mudah, ia berputar di paksi bekalan dan permintaan. Semua pihak yang berkepentingan ambil kesempatan membekalkan permintaan ini kerana hasilnya lumayan. Para penunggang agama, para penyebar kebencian dan parti politik yang terdesak adalah benifisarinya. Sekali lagi saya terperangkap.

8. Tembok kubu dikawal oleh bomoh-bomoh handal dan pendita-pendita yang kerjanya ‘menjampi serapah’ mangsa ‘sihir’ dan para pendita yang siang malam berkhutbah dan menghukum mereka yang mahukan bebas dari kubu-kubu ini. Terimakasih kepada teknologi media sosial.

9. Namun saya beruntung kerana ada ‘kunc’i keluar dari tembok penjara ini. Tiada bomoh atau pendita yang mampu menghalang saya. Saya tak perlu menjadi bangsa lain dan saya tak perlu ada agama lain. Saya tetap Melayu beragama Islam dan bangsa lain tetap mereka dengan agama mereka.

10. Saya telah temui apa yang perlu dijaga dan dikawal, bukan tembok Melayu-Islam, tembok Cina- Kristian, tembok India-Hindu atau tembok Sabah Sarawak. Saya perlu memelihara Tembok Kubu Kemanusiaan, Kubu Kebebasan dan Kubu Kasih-Sayang.

11. Kubu ini tidak dicam dengan agama atau bangsa, luas terbentang, semuanya bebas keluar masuk di dalamnya. Hanya satu sahaja matlamat mereka iaitu mengawal musuh durjana yang mengancam kemanusiaan daripada para penunggang kaum dan agama. Awas musuh-musuh ini yang berselindung di sebalik wajah agama dan bangsa.

12. Malaysia memerlukan kubu dan tembok kukuh kemanusiaan dan kebebasan untuk dipertahankan barulah menjadi Melayu dan Muslim adalah satu kebanggaan bukan satu dilema. Kubu ini menyelamatkan juga kaum lain dan agama lain kerana kita semua adalah Manusia.

“Tidak Aku Utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk bawa Rahmat kepada semua alam ini”

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden AMANAH

(Diambil daripada artikel Dr. Mujahid Yusof Rawa bertajuk, "Hannah Yeoh, Jadi Melayu Muslim Pun Susah" bertarikh 18 Mei 2017)

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon