Dua orang banduan yang mencipta sejarah sebagai tahanan paling lama menjalani hukuman penjara di negara ini iaitu selama 31 tahun dibebaskan dengan pengampunan.
Salleh Talib membaca doa sebaik sahaja melangkah keluar dari Penjara Taiping, Perak.
Tiada perkataan lain yang dapat diucapkan oleh Salleh Talib dan Jamil Ahmad selain memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t kerana kini mereka dapat menghirup udara bebas selepas lebih separuh usia dihabiskan di dalam penjara.
Kedua-duanya yang bersahabat dijatuhkan hukuman sepanjang hayat pada 1976 selepas terbabit dalam cubaan merompak bersenjata api dalam satu kejadian di Alor Star.
Ketika itu, Salleh berusia 27 tahun dan Jamil pula 26 tahun. Seemasa dibebaskan, Salleh berusia 57 tahun dan Jamil 56 tahun.
Setelah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari, mereka diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan dibebaskan secara rasmi.
Salleh dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak manakala Jamil dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Utusan Malaysia mencatat detik-detik kedua-duanya dibebaskan dari dalam kedua-dua penjara itu.
Berikut detik-detik tersebut:
Di Penjara Taiping:
Sebaik saja tiba di penjara itu tepat pukul 3 petang, pemberita Syahril Abd. Kadir terus dibawa menemui Pengarah Penjara Kajang, Narander Singh di pejabatnya.
Beliau yang teruja melihat kehadiran kami memaklumkan yang beliau sendiri akan membawa Salleh untuk diwawancara secara eksklusif di bilik mesyuarat.
Kelibat Salleh kelihatan tidak sampai 10 minit selepas itu. Selesai saja kami menemu bual Salleh, Narander dengan ditemani wakil Suhakam, Datuk Siva Subramaniam terus mempelawa kami melihat sendiri proses terakhir yang perlu dilalui tahanan tersebut sebelum dibebaskan.
Tepat pukul 3.50 petang, Narander mengarahkan Salleh menggantikan pakaian penjaranya.
Kira-kira 10 minit kemudian, Salleh keluar dari bilik persalinan dengan wajah tersenyum sambil diberi tepukan oleh beberapa para wadar penjara yang berada di bilik tersebut.
Dengan berkemeja biru, berseluar panjang hitam, berkopiah dan berselendang ala Herman Tino, Salleh terus dibawa berjumpa Narander di bilik dokumentasi.
Di situ, Narander menurunkan tandatangan tidak kurang daripada 10 dokumen sebelum membacakan perintah pembebasan kepada Salleh.
Beliau juga sempat memberikan nasihat dan perangsang kepada Salleh, di saat itu kami melihat mata Salleh bergenang.
Kemudian Narander meminta seorang pegawainya menyerahkan sejumlah wang gaji yang dikumpul Salleh dan pada masa sama meminta dia mengiranya secara teliti.
Salleh yang agak terketar-ketar mengira dengan penuh khusyuk setiap helai wang diterimanya.
Selepas itu terpancar senyuman pada mulut Salleh sebelum dia bersalaman dengan setiap pegawai dan wadar yang berada di situ.
Sejurus sebelum dibawa keluar, Salleh juga diberikan dua batang tongkat yang diukirnya sendiri.
Tongkat itu untuk ayah saya yang tercinta, katanya ringkas.
Salleh kemudian terus dibawa keluar dari 'kediaman' yang lebih 30 tahun dihuninya itu.
Dia sempat mengangkat tangan berdoa sebelum terus meluru ke arah ayahnya yang tercinta.
Di Penjara Sungai Buloh:
3 petang: Jamil keluar dari selnya dengan kemeja lengan pendek dan seluar jeans biru.
Selepas ditemu ramah oleh pemberita Umavathi Ramayah, Jamil diminta membaca komen dan nasihat yang dicatat dalam sebuah buku penilaian dengan nada yang kuat sebelum dibebaskan dan dibenarkan melangkah keluar dari tembok batu itu.
Ketika itu Jamil tidak dapat menahan sebak dan seribu satu keinsafan dapat dilihat pada raut wajahnya.
Pengarah Penjara Sungai Buloh, Darulssalam Budin kemudian menyerahkan wang tunai RM439.10 iaitu sebahagian daripada hasil titik peluh sepanjang dia berada di penjara.
Apa pun saya bersyukur kerana sebahagian daripada hasil titik peluh saya pernah saya hadiahkan kepada ibu sewaktu beliau berangkat ke Tanah Suci Mekah, jelasnya.
Loading...
EmoticonEmoticon