MASIH terbayang dalam ingatan penulis mengenai Kad Hari Raya Aidilfitri lama pada zaman awal tahun 1970-an, menggantikan kad raya lama tahun 1960-an yang menggunakan kertas lukisan. Pada tahun 1970-an, Kad Hari Raya sudah berubah di mana ianya sudah menggunakan mesin cetak.
Kad Hari Raya pada awal tahun 1970-an.
Kad-kad Hari Raya yang sudah dicetak pada ketika itu telah dijual dan tersedia di kedai-kedai buku dengan harga 70 sen bersaiz sederhana kecil.
Manakala kad yang bersaiz besar pula dijual dengan harga $1.20. Di dalam Kad Hari Raya itu, sudah dicetak dengan kata-kata ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’. Ianya dijual bersama sampul suratnya sekali.
Kenangan manis ini masih terbayang dalam ingatan penulis yang mana pada masa itu sedang berkhidmat dalam jabatan kerajaan. Bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan pada ketika itu merasa tidak sabar menantikan kedatangan posmen yang membawa kad-kad Hari Raya ke tiap-tiap jabatan di negara ini.
Posmen tersebut membawanya dalam satu bungkusan plastik dengan menaiki motosikal khas kerajaan.
Kad Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1969 yang dicetak oleh Star Trading and Printing Co.
Kad Hari Raya pada awal tahun 1970-an.
Kad-kad Hari Raya pada zaman dahulu kebanyakannya bersaiz besar dengan coraknya yang berwarna-warni. Bahagian luar sampul surat kad itu tertera gambar pemandangan seperti masjid, ketupat, lampu pelita, lampu cucul, bunga-bungaan, bulan, bintang dan juga bunga api. Setelah menerima Kad Hari Raya tersebut, para remaja akan sibuk menyusun, menggantung dan melekatnya di bahagian tepi dinding dengan menggunakan paku khas. Ianya akan diserikan lagi dengan lampu cucul yang dipasang di dalam bilik tamu rumah.
Masyarakat Brunei menamakan lampu cucul tersebut dengan ‘Cucul Lada Padi’.
Apabila Hari Raya menjelma, kawan-kawan, sahabat handai dan rakan sekerja akan datang berduyun-duyun. Ada yang datang bersama teman, suami isteri, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan sekerja pada ketika itu.
Suasana meriah, gurau senda dan gelak ketawa menceriakan suasana. Sampul surat berisi wang belum lagi ada pada ketika itu, berbanding dengan Sambutan Hari Raya pada masa ini. Begitulah ingatan kenangan penulis ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1970-an yang tidak mungkin akan dilupakan.
Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
EmoticonEmoticon