Di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman, kecoh dengan kisah misteri mengenai hantu penanggal atau juga lebih dikenali sebagai balan-balan di kalangan masyarakat Sabah. Hantu jenis ini dikatakan suka memakan uri ibu yang baru lepas bersalin. Namun begitu benarkah hantu penanggal ini wujud?
Apakah itu penanggal? Adakah ia sejenis hantu ataupun syaitan? Menurut kata orang-orang Sabah terutamanya dari kawasan Kota Belud, penanggal ini merupakan individu yang mengamalkan ilmu hitam. Di Sabah, penanggal dipanggil dengan nama B Kuasa Dua. Nak tahu sebabnya kenapa? Ini kerana masyarakat di situ percaya bahawa menggunakan perkataan BALAN-BALAN akan mendorong ia datang kepada orang yang menyebutnya.
Terdapat satu kisah seram yang diceritakan oleh seorang saudara kepada saya dan kisah itu melibatkan balan-balan di Sabah. Ikuti pengalaman menakutkan yang telah dialami oleh sebuah keluarga yang dikejar oleh balan-balan atau hantu penanggal ini.
Seingat saya, kisah seram itu berlaku kira-kira lima tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2012. Menurut saudara saya, pada malam tersebut rakannya baru balik dari satu majlis kesyukuran yang dibuat oleh ibu mertuanya. Rakannya itu bernama Hamid (bukan nama sebenar). Hamid yang bersama isteri dan anak lelakinya pada waktu itu menggunakan satu jalan yang agak suram dan gelap. Seperti pada malam-malam yang biasa, tidak ada sebarang peritiwa aneh yang berlaku sepanjang mereka menggunakan jalan tersebut.
Namun pada malam yang berikutnya, satu peristiwa yang agak seram dan menakutkan terjadi kepada tiga beranak ini. Semasa mereka melintasi sebuah kedai di kampung tersebut, anak mereka terlihat sesuatu seakan-akan penanggal yang sedang berlegar-legar di sekeliling tiang lampu yang berada tidak jauh dari mereka. Penanggal tersebut seperti tidak mengendahkan kehadiran mereka, sehinggalah anak lelaki mereka itu menegur benda tersebut dengan bertanyakan kepada ibunya apakah benda yang terbang berdekatan dengan tiang lampu itu?!
Seolah-olah pertanyaan anak itu didengari oleh penanggal tersebut, terus ia mengekori mereka dari belakang kereta yang dipandu oleh Hamid sehingga menyebabkan anak mereka menangis ketakutan. Ibunya yang dari tadi menyangka penanggal yang terbang mengekori mereka itu adalah seekor burung, turut menangis dan mengarahkan supanya suaminya memandu kereta dengan lebih laju.
Walaupun setelah beberapa kilometer, penanggal tersebut masih mengekori mereka dari belakang. Untuk menenangkan keluarganya, Hamid telah membaca beberapa patah ayat suci Al-Quran serta ayat Kursi sebagai pendinding. Namun begitu, penanggal tersebut bertambah ganas! Ia menghentak-hentakkan kepalanya ke arah tingkap kereta yang dipandu oleh Hamid seakan-akan ingin mengacahnya.
Penanggal itu seperti tidak takut dengan ayat-ayat suci al-Quran di bacanya. Semakin dibaca, semakin bertambah agresif penanggal itu. Mungkin sahaja ayat-ayat al-Quran tidak disebut dengan betul oleh Hamid disebabkan keadaan yang panik pada ketika itu. Penanggal itu terbang beriringan dengan keretanya dan memerhatikan mereka dari tepi tingkap kereta. Oleh kerana terlampau takut, Hamid tidak berani menoleh ke arah tingkap kereta untuk melihat wajah penanggal tersebut.
Bagaimanapun, nasib mereka agak baik kerana tidak lama selepas itu, terdapat sebuah kereta yang dipandu dari arah bertentangan telah membunyikan hon seperti ingin memberitahu dia juga terlihat penanggal tersebut. Oleh sebab lampu terang dari kereta tersebut dan bunyi hon itu, penanggal tersebut berubah arah dan mengejar pula kereta yang telah membunyikan hon itu.
EmoticonEmoticon