PENYANYI Aliff Aziz mengakui dirinya bersikap curang terhadap isterinya, Bella Astillah dengan keluar berdua-duaan dengan aktres baharu, Afifah Nasir di sebuah pusat karaoke, Khamis lalu.
Mengenai penahanannya di lokap, Aliff berkata ia memberi pengajaran yang sangat berguna buat dirinya selain bersyukur isterinya telah menarik balik laporan dan sudi memberi peluang kedua buat dirinya.
Aliff mengatakan dia meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas dengan kontroversi tersebut terutamanya kepada isteri dan ahli keluarganya.
Di samping itu, Aliff turut menuntut Afifah untuk memohon maaf dan tidak perlu berdolak-dalik mengenai kontroversi yang melanda mereka.
“Sebagai manusia biasa saya tidak lepas daripada buat kesilapan dan saya akui melakukan perkara itu atas sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan.
“Apa yang saya boleh katakan, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Perkara sebenarnya hanya saya dan dia (Afifah) sahaja yang tahu,” katanya.
Aliff ditemui pemberita ketika mengadakan sesi sidang media bagi menjawab segala persoalan yang berkaitan kisah kecurangannya dengan adik pelakon Anzalna Nasir itu.
“Saya harap pihak Afifah tidak berdolak-dalik dan berfikiran sama untuk mengaku bersalah. Pada saya dia tidak perlu untuk menegakkan benang yang basah. Kalau niatnya mahu menjaga reputasi, ia sudah pun berakhir,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama Aliff turut menafikan dakwaan mengasari Bella seperti mana yang dilaporkan kebanyakan media sebelum ini.
Menurutnya, kecederaan yang dialami Bella adalah akibat pergelutan yang berlaku di antara mereka. Malah dia langsung tidak berniat untuk mencederakan isterinya itu.
“Saya bukan jenis manusia kaki pukul dan tidak pernah sekali pun memukul siapa-siapa dengan sengaja,” kata aktor dan penyanyi kelahiran Singapura itu.
Khamis lalu, Bella telah ‘menangkap’ Aliff dan Afifah dalam sebuah bilik karaoke di Taman Shamelin, Cheras sehingga berlaku pergelutan di antara mereka.
Susulan pergelutan itu, Bella telah membuat laporan polis dan Aliff kemudiannya ditahan polis dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, Sabtu lalu.
EmoticonEmoticon