Saturday, 30 September 2017

Orang Bajau Laut Dipercayai Sengaja Bunuh 100 Penyu.

Tags



KOTA KINABALU: Golongan Bajau Laut atau dikenali nomad laut dipercayai membunuh dengan kejam kira-kira 100 ekor penyu yang rangkanya ditemukan bertaburan di pantai Kampung Pantau-Pantau, Kampung Amboh-Amboh dan Kampung Sampolan di Pulau Bum-Bum, Semporna baru-baru ini.


Mengenai rangka penyu yang tular di media sosial semalam, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata pasukan penyiasat yang dibantu oleh polis marin, Taman Sabah, World Wildlife Fund (WWF) dan Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO) dihantar ke pulau itu awal 29 September.

Mereka turut menemui lapan bangkai penyu dan satu yang terapung di laut. Bangkai penyu itu tidak lagi berada di kawasan yang pada awalnya ditemukan tetapi dpercayai dihanyutkan ke laut.

“Siasatan lanjut di kampung-kampung pesisir di sekitar pulau tersebut menunjukkan aktiviti pemburuan haram (oleh golongan Bajau Laut) telah berlarutan agak lama,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tuuga berkata siasatan masih dijalankan tetapi beberapa suspek telah dikenal pasti. Dalam kes lain, beliau berkata jabatan sedang menyiasat kematian seekor gajah yang dijumpai terapung di Sungai Kinabatangan.

Ia dijumpai seorang pemandu pelancong yang menaiki bot menyusuri sungai bersama sekumpulan pelancong pada 25 September lalu. Tuuga berkata bangkai itu dibawa ke darat dan bedah siasat dijalankan oleh pegawai veterinar jabatan tersebut.

Haiwan itu dikenal pasti sebagai spesies gajah jantan, dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun, dan dipercayai mati atau dibunuh tiga hari sebelumnya atau 22 September lalu.

Hasil bedah siasat, kata Tuuga, tidak menemui sebarang bukti kesan tembakan pada badan haiwan itu dan ada kemungkinan gajah itu termasuk dalam perangkap yang akhirnya menyebabkan haiwan itu mati akibat keletihan.

“Siasatan sekarang tertumpu untuk mengenal pasti kawasan yang mungkin gajah itu mati atau dibunuh di hulu Sungai Kinabatangan sebelum bangkainya dicampak ke dalam sungai,” kata beliau. - Bernama

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon