PETALING JAYA: Bomba sedang menyiasat kemungkinan kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 24 nyawa kelmarin mungkin kerana perbuatan khianat.
Pengarah Bomba Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata bukti dan keterangan saksi menyangkal teori awal yang mengesyaki kebakaran disebabkan litar pintas.
“Selepas pemeriksaan secara teliti dan dengan menggunakan anjing pengesan, kami dapati kebakaran bermula di luar bilik asrama di tingkat 2.
“Anjing turut terhidu kesan kimia sekitar kawasan itu, jadi kita bawa ke makmal,” katanya kepada FMT.
Khirudin menambah mereka yang terselamat dalam tragedi itu memberitahu pihak berkuasa yang mereka tidak dapat melepaskan diri dari bilik asrama itu melalui pintu.
“Ada 2 silinder gas masak di kawasan itu,” katanya.
“Silinder itu sepatutnya berada di dapur di aras bawah.”
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pagi kelmarin berkata polis mengesyaki litar pintas punca kebakaran itu.
Namun menurut Khirudin, Suruhanjaya Tenaga yang turun ke sekolah hari ini mendapati tiada tanda-tanda litar pintas atau beban lebih pada output elektrik.
Ditanya sama ada beliau mengesyaki kebakaran berpunca daripada seseorang yang bekerja atau belajar di sekolah tu, beliau berkata bomba belum menyiasat kemungkinan itu.
“Kita perlu tunggu sehingga ujian makmal selesai dijalankan, dan kita akan serahkan kepada polis untuk siasatan. Bila berlaku begitu (khianat), kita anggap jenayah dan jenayah di bawah bidang kuasa polis.
“Kita nak cepat sebab kes ini sudah menjadi perhatian negara, dan semua orang mahu tahu punca kebakaran,” katanya.
Menurut AFP, kebakaran tercetus di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terletak di Jalan Keramat Ujung, awal pagi tadi.
Bomba bergegas ke tempat kejadian dan api dapat dipadam dalam tempoh 1 jam tetapi kebakaran itu menyebabkan kesan bencana yang buruk.
Pegawai bomba di tempat kejadian berkata kebakaran tercetus di bilik tidur awal pagi tadi, dan bomba dari balai berhampiran berada ke tempat kejadian dalam masa beberapa minit.
EmoticonEmoticon