Sebahagian wang tunai yang ditemui di dalam sebuah hotel di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Pembaca
KOTA KINABALU: Seramai 19 orang dipercayai ditahan susulan penemuan wang tunai berjumlah RM11 juta dalam serbuan 'Op Gegar' oleh Jabatan Imigresen Sabah di sini, awal pagi tadi.
Menurut sumber, tiga daripada yang ditahan adalah lelaki warga tempatan manakala 16 lagi wanita warga Filipina dan China, berusia antara 20 hingga 40-an.
“Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah hotel untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (APTISOM) (Akta 670).
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dalam bilik itu membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai dianggar berjumlah lebih RM8 juta, termasuk yang disembunyikan dalam kotak minuman keras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan tangkapan dan rampasan wang tunai terbabit, pihak Imigresen dikatakan melakukan satu lagi serbuan di apartmen berhampiran.
“Sejumlah wang tunai ditemui cuba disembunyikan dalam laci.
“Jumlah yang ditemui dalam rampasan itu dianggar lebih RM11 juta,” katanya.
Difahamkan, proses mengira wang terbabit masih dilakukan. - BH ONLINE
EmoticonEmoticon