KUALA LUMPUR: Kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyifatkan Universiti teknologi Mara (UiTM) sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran menjadi topik perdebatan hangat di media sosial.
“Anda dapat masuk universiti, kalau ‘slow learner’ (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.
“Ada kala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah Umno,” katanya yang dikenali dengan panggilan Ku Nan.
Ku Nan membuat kenyataan itu ketika menekankan sumbangan Umno kepada pelajar, ketika berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur semalam.
Kenyataan itu mendapat perhatian Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mengecam dakwaan Ku Nan itu.
Katanya, kenyataan itu ternyata menghina universiti yang telah banyak menyumbang kepada negara, serta ratusan ribu graduannya.
“Ini merupakan penghinaan kepada pelajar yang menuntut di UiTM.
“Pengorbanan ratusan ribu graduan inilah yang banyak mencurahkan jasa dan bakti untuk membangunkan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, tidak ada sebarang kesalahan atau prasangka buruk terhadap kenyataan Ku Nan itu.
Kata beliau juga tidak menganggap kenyataan Ku Nan itu sebagai satu penghinaan kepada pelajar, khususnya UITM.
“Saya mempertahankan kenyataan Ku Nan, ungkapan itu bukan satu penghinaan dan tidak membawa maksud memandang rendah terhadap keupayaan anak Melayu,” tegasnya menerusi satu entri di dalam laman web umnobahagiancheras.blogspot.my.
Katanya, kenyataan berterus-terang Ku Nan itu adalah satu realiti dan sepatutnya dilihat dalam konteks peluang dan pencapaian anak-anak Melayu di pusat pengajian tinggi.
“Kita kena terima hakikat bahawa pernah suatu ketika ada pelajar Melayu tidak berpeluang melanjut pelajaran ke tahap lebih tinggi jika diukur dari segi pencapaian akademik berbanding bangsa lain.
Justeru katanya, penubuhan UITM (asalnya ITM) adalah perjuangan UMNO demi masa depan bumiputera dan anak Melayu dan hasilnya kini ternyata amat membanggakan.
“Penubuhan UITM adalah perjuangan dan keringat UMNO, mana mungkin pula Kun Nan (pemimpin UMNO) berniat untuk menghina ?, Inilah persepsi jahat pembangkang,” tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan kesal kerana kenyataan Ku Nan yang dibuat secara terbuka itu telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu terutama blok pembangkang dengan menuduh berupa penghinaan.
Syed Ali sebaliknya menjelaskan, kenyataan Ku Nan merupakan satu realiti yang pernah dihadapi oleh pelajar Melayu terutama membabitkan kuota kemasukkan mereka ke pusat pengajian tinggi.
EmoticonEmoticon