SHAH ALAM: Sebagai insan seni, mereka dinasihatkan agar tidak menjadi alat kepada parti pembangkang, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.
Beliau yang membuat teguran secara terbuka kepada segelintir artis yang dilihat begitu asyik menghentam kerajaan tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Dapatkan fakta yang betul sebelum menulis dan tulislah dalam keadaan waras.
“Nasihat saya agar ‘beliau’ berhenti daripada menggunakan pengaruh sebagai artis untuk memesongkan pemikiran rakyat negara ini,” katanya yang dipetik dari laman Facebook miliknya.
Bagaimanapun, beliau tidak secara terperinci mendedahkan kepada siapa artis yang dimaksudkan.
Beliau berata, tidak sesuai untuk artis ini menjadi perkakasan parti pembangkang yang kini terdesak untuk meraih populariti menjelang PRU14.
“Malah parti itu nak buat mesyuarat agung pun tak mampu bagaimana nak diharapkan untuk mentadbir negara?
“Bekerjalah sedaya upaya dalam dunia seni tempatan yang cukup luas bidangnya, kalau dah tak laku jadi pelakon, cuba pula bidang lain atau setidak-tidaknya guna pengaruh untuk mulakan serta kembangkan perniagaan,” ujarnya.
Tanpa menyebut nama artis berkenaan, Rizal berkata populariti artis tersebut merudum kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin dan terlibat dengan gejala-gejala negatif.
“Kini, terdesak untuk meraih semula populariti, beliau cuba membuat posting-posting politik yang tidak tahu apa yang ditulis.
“Daripada menghabiskan masa membaca portal berita atau blog pembangkang, lebih baik mencari maklumat untuk mendapatkan pelbagai bantuan khususnya untuk orang bangsa sendiri dan masyarakat seni,” katanya lagi.
Rizal berkata, sejarah menunjukkan nasib yang menimpa beberapa artis yang dipergunakan pembangkang yang akhirnya terpaksa kembali kepada dunia seni apabila dipinggir setelah pembangkang mencapai matlamat mereka.
“Contoh jelas pada PRU13 yang lalu, golongan artis hanya digunakan untuk berceramah tetapi kemudiannya nasib mereka langsung tidak dipedulikan,” katanya.
Rizal juga membacakan teks yang sama ketika melancarkan Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia di Royale Chulan Damansara, hari ini.
Terdahulu, pelakon Fathia Latif mencetuskan kontroversi apabila status-status di laman Twitter miliknya yang menghentam kerajaan.
Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff memberikan pandangan mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa masyarakat Malaysia akan menjadi bebas mata wang menjelang tahun 2050 nanti.
"Kita nak jadi macam zaman batu balik ke? Buat sistem barter balik, kau bagi aku televisyen, aku bagi kau basikal. Takut," tulisnya.
Komennya itu menjadi tular dan mendapat perhatian netizen prihatin apabila ada diantara mereka menjadikan komen tersebut sebagai jenaka seperti Ajibtoo.
Pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa ini sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan beberapa status di Twitternya.
Terbaru Fathia mempersoalkan siasatan yang dijalankan terhadap Dr Mahathir berkenaan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (Forex).
“Selepas berpuluh-puluh tahun Tun (Dr Mahathir) berkhidmat pada negara baru nak dakwa? Inilah dinamakan 'bijak'?" soalnya.
Tidak hanya itu, menerusi statusnya Fathia berkata, jika ‘ingin membuka cerita lama’, siasatan patut juga dibuat terhadap dakwaan ‘sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi individu tertentu’.
"Siasatan perlu dibuat dan 'keputusannya' didedahkan kepada umum kerana masih ada persoalan yang tidak dijawab sepenuhnya. Setuju?" soalnya.
Awal November lalu, status Fathia terus menjadi perhatian apabila mempersoalkan mengenai harga minyak.
“Minyak naik lagi RM2.31 sen! Sapa (siapa) sakit hati? Ke tak rasa apa-apa sebab dah immune (biasa)?” katanya.
Tidak hanya itu, Fathia juga hebat dikecam hanya kerana mempersoalkan sama ada Najib melawat pusat banjir di Pulau Pinang.
“Assalamualaikum Prime Minister, tak pergi ke jenguk-jenguk #Penang?” tulisnya.
Fathia dilihat antara pelakon yang lantang menyuarakan pendapat biarpun adakalanya dianggap keterlaluan. - Sinar Online
EmoticonEmoticon