Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.
“Jika awak hilang kerja hanya kerana sokong kami, kami berikan jaminan. Kami akan beri balik kerja awak,” kata Muhyiddin dalam ucapannya di Konvensyen PH Sarawak di Sibu hari ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu mengulas ugutan Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid semalam yang tindakan tata tertib akan diambil kepada guru dan pegawai kementerian sekiranya mereka didapati menyokong pembangkang.
Mahdzir dalam majlis bersama penjawat awam di Putrajaya itu juga mengatakan, pengawai pendidikan dan guru dilarang daripada menyertai parti pembangkang atau mengkritik kerajaan kerana tindakan itu dianggap sabatoj dan mencemarkan imej kerajaan.
Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana undi adalah rahsia dan sekiranya mereka hilang kerja dan didiskriminasi kerana seseorang melaporkan sokongan mereka kepada pembangkang, mereka akan mendapat pekerjaan mereka kembali.
Katanya lagi, kerajaan tidak berhak menyekat hak demokratik.
Pada konvensyen itu juga, Muhyiddin mendedahkan yang pembahagian kerusi dalam pakatan itu telah diputuskan dan membolehkan jentera pilihan raya PH memulakan gerak kerja.
“Buat pertama kali dalam sejarah pembangkang negara ini, kita telah duduk dan memutuskan pembahagian kerusi.
“Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya ketika mendedahkan kerusi di Johor, kawasannya juga sudah “dimaktubkan malam tadi”.
PH Sarawak bulan lepas memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi dengan mengguna pakai aturan dibuat pada 2013.
Memandangkan pembahagian kerusi sudah selesai, Muhyiddin berkata PH “sudah sedia untuk berperang”.
Katanya lagi, manifesto nasional PH juga sudah disiapkan dan agenda utama mereka adalah “menghapuskan GST”.
“Itu adalah yang pertama kami akan buat kerana ia membebankan rakyat.”
Katanya, tidak mustahil untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak atau menjatuhkan kerajaan BN.
“Sudah ada gelombang. Tengah bergegar sebab rakyat marah.
“Masanya sudah tamat untuk BN,” yang disifatnya sudah memerintah terlalu lama dan hilang arah kerana mereka daripada “zaman dinosaur”.
“Mereka tak boleh teruskan lagi.
“Mereka perlu berundur. Masanya sudah tiba untuk beritahu rakyat yang zaman BN sudah berakhir.”
Kredit
EmoticonEmoticon