SHAH ALAM: Bukan hanya majikan, malah pegawai penilai yang memberi markah rendah tanpa alasan munasabah disarankan supaya dikenakan tindakan oleh kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, tindakan itu boleh memberikan tekanan kepada pekerja bawahan.
“Kami pernah bertemu dengan mereka yang diberikan markah penilaian prestasi rendah dan mereka adukan tentang perkara ini. Pihak atasan letakkan pekerja kelas bawah dalam keadaan tertekan.
Mereka tidak mengambil kira situasi dan keadaan semasa pekerja bawahan. Kalau buat silap sikit terus dapat markah rendah dalam prestasi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Menyifatkan ia sebagai suatu kaedah baharu untuk ‘mendera’ pekerja katanya, pegawai yang mempunyai kuasa memberi penilaian sering menjadikan markah prestasi sebagai ugutan kepada pekerja.
“Kumpulan pekerja bawahan kebiasaannya dipantau habis-habisan. Pihak atasan tetap tidak kira susah payah pekerja bawahan.
“Kadangkala pihak atasan atau pegawai buat silap lagi teruk tapi tidak diambil tindakan. Ini penderaan mental kepada penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, ‘budaya’ seumpama itu tidak dapat mewujudkan keharmonian antara pegawai dan pekerja bawahan.
“Kerajaan patut ambil tindakan terhadap pegawai yang memberikan markah prestasi rendah kepada kakitangan tanpa alasan kukuh.
“Manakala pekerja yang diberikan penilaian rendah perlu dinilai semula oleh pegawai penilai baharu,” katanya.
Sinar Online sebelum ini melaporkan kerajaan akan mengenakan tindakan ke atas majikan yang memberikan tekanan kepada pekerjanya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap perkara tersebut, selain menegaskan untuk menjalankan siasatan termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak menghargai pekerja mereka.
Loading...
EmoticonEmoticon