PUTRAJAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000 sebulan dikecualikan daripada membuat sebarang bayaran.
Demikian kata Menteri Pendidikan baharu, Dr. Maszlee Malik sambil menegaskan, langkah itu berkuat kuasa serta-merta sebagai menunaikan janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Harapan (PH) dalam masa 100 hari selepas menang pilihan raya.
“Di peringkat pengajian tinggi, kita akan memberikan tumpuan sebab kita janji dalam 100 hari untuk meletakkan syarat kepada pembayar PTPTN iaitu mereka yang belum mencapai gaji RM4,000 mereka tak perlu membayar.
“Cuma kita perlu berhubung dengan pihak imigresen untuk menarik sekatan perjalanan mereka. Itu antara janji yang perlu kita tunaikan dan jadi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah-Terima Tugas bekas Menteri Pendidikan Tinggi kepada beliau di sini hari ini.
Manifesto PRU-14 PH tidak menawarkan pemansuhan hutang PTPTN seperti mana yang dijanjikan pada PRU-13 sebaliknya, manifesto PH tetap meneruskan PTPTN tetapi tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.
Ditanya sekiranya gaji peminjam PTPTN mencecah RM4,000 dalam masa beberapa tahun akan datang, beliau berkata, mereka dialu-alukan membuat bayaran sebagai tanda tanggungjawab.
“Tidak perlu bukan tak payah, kalau mereka nak bayar lagi bagus (gaji lebih RM4,000). Kita ingin wujudkan dalam kalangan warga Malaysia sikap bertanggungjawab.
“Bila gaji mereka sampai RM4,000 atau tak sampai mereka nak bayar pun dialu-alukan. Itulah sikap yang sepatutnya ada,” katanya.
Katanya lagi, penangguhan bayaran itu dibuat dengan mengambil kita keadaan ekonomi semasa dan tekanan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat.
“Memandangkan keadaan ekonomi yang teruk pada hari ini, maka kita letakkan RM4,000 itu supaya bila mereka sampai tahap itu, mereka boleh membuat pembayaran,” katanya lagi. - MalaysiaGazette
EmoticonEmoticon