Kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara bulanan dan sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, perkara itu akan memberikan kelebihan kepada pengguna jika harga minyak dunia sedang naik, namun disebabkan trend harga minyak adalah menurun, maka kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.
"Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.
"Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
"Justeru, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Bermula 7 Jun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-maisng pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.
Guan Eng berkata, timbul persoalan apa akan berlaku jika harga minyak dunia naik semula kerana ia akan memperlihatkan kenaikan harga minyak runcit yang akan turut naik setiap minggu.
Katanya, dalam keadaan itu, kenaikan harga minyak runcit akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.
"Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada 2019.
"Ini selaras dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar apabila harga minyak naik," katanya.
Loading...
EmoticonEmoticon