Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi sewajarnya mendapat reaksi serius khususnya daripada pemerhati politik dan amnya daripada rakyat Malaysia. Malangnya tidak banyak komen atau kritikan mengenai hal ini.
Selain bertindak sebagai Pengerusi, Perdana Menteri Malaysia itu turut melantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kerja Raya sebagai anggota Majlis. Turut tersenarai ialah bekas Menteri, Pengerusi Permodalan Malaysia Berhad, Pengarah Bank, Penasihat Ekonomi PM, Pengerusi Bursa Malaysia dan beberapa pakar yang terkait dengan ekonomi.
Tujuan penubuhan Majlis tersebut dikatakan untuk menyahut dan bertindak atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka (rakyat) hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi. Ia juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM. Walaupun tujuannya dilihat baik, saya pasti ia akan gagal mencapai matlamat, antara lain kerana:
1. Para "pakar ekonomi" yang dilantik dalam Majlis tersebut terdiri daripada individu-individu yang hanya dikitar semula. Kebanyakan mereka adalah kelompok elit pemilik modal yang sudah lama kaya raya. Bagaimana mungkin kelompok semacam ini, apatah lagi yang sehingga kini gagal memperbaiki keadaan ekonomi negara, akan berjaya mengeluarkan rakyat daripada kesempitan hidup dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat?;
2. Sifat ekonomi kapitalis itu sendiri bukanlah untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, tetapi hanya untuk menjaga kepentingan pemerintah dan para pemilik modal;
3. Apa sahaja Majlis atau program ekonomi yang dilihat baik, selama mana ia diwujudkan di bawah sistem kapitalisme, ia hanyalah bersifat tampal sulam bagi menutup kerosakan dan kebusukan yang diakibatkan oleh sistem yang terkenal mencekik darah rakyat itu. Ia hanyalah gula-gula untuk mengabui mata rakyat dan bagi menutup mulut rakyat;
4. Penderitaan rakyat dari sudut ekonomi, khususnya berhubung kenaikan kos sara hidup adalah disebabkan oleh penerapan sistem ekonomi kapitalisme itu sendiri. Kerosakan yang berlaku adalah kerosakan sistemik yang tidak akan boleh diubah kecuali dengan membuang sistem yang rosak tersebut. Ibarat rumah yang sudah buruk dan hampir roboh, menampal sekeping atap walaupun dilihat baik, namun sudah pasti tidak akan dapat menyelamatkan penghuninya.
Kapitalisme mengukur kesejahteraan ekonomi hanya berdasarkan angka dan purata semata-mata. Contohnya pada tahun lepas (2018) pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.7 peratus dinilai sihat oleh ramai pakar ekonomi, sedangkan hakikatnya majoriti rakyat masih mengeluh dan menderita dengan kenaikan kos sara hidup.
Sedangkan dalam Islam, kesejahteraan ekonomi itu diukur berdasarkan setiap individu rakyat. Pemerintah akan berdosa sekiranya dalam negara terdapat walau hanya seorang individu yang tidak cukup makan. Pemerintah wajib memastikan setiap individu rakyat mempunyai kecukupan dari segi keperluan asas (basic needs) yakni setiap individu rakyat mesti mempunyai makanan, pakaian dan tempat tinggal. Lebih daripada itu, pemerintah wajib menyediakan hak asas (basic rights) setiap individu rakyat secara percuma iaitu pekerjaan, kesihatan dan keamanan.
Ala kulli hal, tertubuhnya Majlis Tindakan Ekonomi oleh Dr Mahathir sebenarnya menunjukkan yang Perdana Menteri Malaysia itu sudah tidak yakin dengan menteri kabinet dan segala institusi berkenaan ekonomi dalam negara ini. Sayangnya Mahathir gagal memahami bahawa beliau akan terus gagal untuk mensejahterakan hidup rakyat selagi mana beliau masih menerapkan sistem ekonomi kapitalisme, dan tidak menggantikannya dengan sistem ekonomi Islam.
Saya juga terfikir yang Dr Mahathir ni sebenarnya nak jadi Menteri Kewangan, tetapi beliau terpaksa akur dengan manifesto PH yang tidak membenarkan beliau memegang jawatan tersebut. Jadi, dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi, dapatlah juga ahli parlimen Langkawi itu "merasa" menjadi ketua dalam urusan ekonomi negara, tanpa mana-mana pihak dapat mengutuk beliau kerana melanggar manifesto.
Oleh: Abdul Hakim Othman - Jurucakap HTM
EmoticonEmoticon